0

Dividen ASW2020 2012 6.6 sen seunit

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) — Amanah Saham Nasional Bhd, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) Isnin mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.70 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2013.

Pengagihan pendapatan ini merupakan peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan tahun lepas dan juga yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Pengumuman pendapatan ASW 2020 itu dilakukan Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di sini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

“Sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2013, tabung ASW masih mampu mencapai objektif pelaburannya meskipun pasaran saham dan ekonomi dunia masih lagi mengalami suasana ketidaktentuan pasaran oleh krisis hutang Eropah yang berterusan dan perubahan polisi ekonomi Amerika Syarikat serta kelembapan ekonomi serantau,” kata Ahmad Sarji.

Beliau berkata kadar pengagihan pendapatan tersebut membabitkan pembayaran berjumlah RM1.062 bilion, peningkatan sebanyak 9.2 peratus berbanding jumlah pembayaran pada tahun sebelumnya yang berjumlah RM973.16 juta.

Pengagihan pendapatan ini akan dimanfaatkan oleh seramai 899,967 pemegang unit yang telah melanggan 15.8 bilion unit ASW 2020.

“Kadar pengagihan pendapatan ASW 2020 ini adalah berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan, terutama dalam suasana ekonomi yang masih dalam proses pemulihan buat masa ini,” kata beliau.

Ahmad Sarji berkata sehingga 25 Ogos 2013, tabung ASW 2020 telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM1.28 bilion, di mana keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM624.46 juta atau 48.8 peratus kepada pendapatan kasar.

Manakala pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM421.18 juta atau 32.9 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut dan selebihnya sebanyak RM234.05 juta diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan, katanya.

Pengagihan pendapatan ASW 2020 akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan pemegang unit pada 1 September 2013.

Semua urus niaga bagi ASW 2020 ditangguhkan bermula semalam sehingga 1 September 2013 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing di ibu pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 September 2013.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW 2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

Sementara itu, Hamad Kama pada sidang media berkata PNB mempunyai kapasiti untuk membayar pengagihan pendapatan melebihi sembilan sen seunit, tetapi lebihan dua sen tersebut telah dibawa kehadapan.

“Seperti biasa, PNB sebagai pengurus pelaburan berhemah yang ingin melihat konsistensi dari segi pulangan setiap tahun, lebih dua sen kita bawa ke hadapan dan kita berharap ia dapat membantu untuk mengurus dana ini supaya (pulangan) tahun-tahun yang akan datang tidak terjejas,” kata beliau.

Hamad Kama berkata simpanan dua sen tersebut berjumlah melebihi RM300 juta dan ini merupakan strategi pelaburan jangka panjang PNB untuk ASW 2020.

BERNAMA 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Carian Kata Kunci:

Filed in: Pelaburan Tags: 

Get Updates

Share This Post

Recent Posts

Leave a Reply

Submit Comment
CommentLuv badge